Minggu, 16 Maret 2008

Penciptaan Alam Semesta

Pernahkah kamu terfikir bagaimana cakerawala yang tidak berpenghujung ini terbentuk? Bagaimana Bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang yang hebat ini dapat muncul? Tahukah kamu alam ini dipenuhi dengan berbagai benda menarik termasuk juga Bumi, bulan dan matahari? Tahukah kamu bahawa keseimbangan halus wujud di alam ini yang memberikan keadaan yang baik untuk hidup?

Sekarang mari kita mula pelajari jawapan-jawapan kepada soalan-soalan ini, dan bagaimana Allah menjadikan alam ini.

Suatu Masa Dahulu Alam Ini Tidak Wujud!

Pada zaman dahulu, pengetahuan manusia tentang angkasa amat terbatas. Peralatan-peralatan yang diperlukan untuk meneroka angkasa masih belum cukup maju seperti sekarang. Oleh itu, kadangkala manusia mempunyai pendapat-pendapat aneh tentang bagaimana alam ini terbentuk. Pendapat yang menyatakan alam ini telah sedia ada, merupakan pendapat paling lucu. Sebelum manusia mempunyai teleskop dan peralatan untuk mengkaji langit, beberapa orang dungu mencadangkan alam ini tidak mempunyai permulaan tetapi telah sedia wujud dan akan terus wujud untuk selama-lamanya.

Bagaimanapun, ia tidak masuk akal! Rumah dan bangunan sekolah kamu telah dibina pada tarikh tertentu. Malah ayat-ayat yang kamu baca sekarang ini juga telah ditulis pada waktu tertentu. Begitu juga kamu, ibu dan bapa kamu juga mempunyai tarikh lahir. Ini bererti semua benda sama ada bernyawa atau tidak wujud pada waktu tertentu. Menyatakan, "Alam ini tidak mempunyai tarikh lahir, kerana ia telah sedia wujud", adalah mengarut. Tiada siapa yang akan mempercayainya kini.

Biar kami berikan satu contoh: di dalam perjalanan kamu ke sekolah, bayangkan kamu melalui jalan yang berbeza dan telah menemui sebuah patung. Apa yang akan kamu fikirkan? Sudah tentu kamu akan berfikir, "Seorang pemahat telah menghasilkan patung ini dan meletakkannya di sini", bukankah begitu? Bagaimana sekiranya seorang rakan kamu menyatakan, "Tidak, patung ini telah sedia ada di sini; tiada siapa mengukirnya"? Mungkin kamu akan berkata kepadanya, "Jangan mengarutlah! Setiap kerja seni mempunyai pembuatnya!", bukankah begitu?